Dua anggota unit MPV ditahan anggota SPRM. FOTO Ihsan Pembaca
Dziyaul Afnan Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


Kangar: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis menahan dua anggota unit peronda polis (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, Kedah di sempadan Kedah-Perlis hari ini kerana meminta wang rasuah.

Pengarah SPRM Perlis Yaacop Angah berkata, mereka berusia 30-an dan 50-an itu ditahan bagi membantu siasatan kes permintaan wang rasuah sebanyak RM4,000 daripada seorang pengedar ketum.

Menurutnya, pengedar ketum itu sebelum ini pernah ditahan dan wang rasuah terbabit sebagai jaminan tidak mengambil tindakan ke atas kesalahannya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

“Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali suapan atau RM10,000 atau yang mana lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan media tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2017 @ 7:05 PM