TERTUDUH di Mahkamah Majistret Kulai. FOTO Zulkarnain Ahmad Tahuddin
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


Kulai: Empat lelaki termasuk seorang warga Indonesia dituduh di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan menculik wanita, bulan lalu.

Keempat-empat tertuduh, Beh Joo Siong, 31; Lee Fa Xian, 30; Soh Wei Lon, 35; dan Agustinus Ratu, 39; faham akan pertuduhan selepas ia dibacakan jurubahasa mahkamah.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Azlan Bohari.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka berempat didakwa bersama-sama tiga yang masih bebas dengan niat untuk membuat tebusan, menculik suri rumah berusia 44 tahun itu serta mengurung dengan salah di rumah kosong separa siap di Kampung Lepau, Pelantar Pengerang, Kota Tinggi sehingga wang tebusan SGD5 juta dibayar oleh suami mangsa.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di rumah di Jalan Nuri 26, Bandar Putra di sini, kira-kira 7 petang, 21 Februari lalu.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 3 (1) Akta Colek 1961 (Akta 365) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup dan sekiranya dikenakan hukuman penjara, boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 April ini untuk sebutan semula sementara menunggu laporan DNA dan tiada ikat jamin dibenarkan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Noor Farhana Adham, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2017 @ 10:38 AM