WAJAH ceria siswa USIM yang menyertai program GISO di Kemboja dan Vietnam untuk menjadi platform pendedahan kepada mereka melaksanakan khidmat kemanusiaan di peringkat antarabangsa.
SESI bersama pelajar sekolah adalah antara yang paling menyeronokkan.
MENGAMBIL peluang memberi khidmat perkongsian ilmu kepada pelajar.
RIANG ria bersama kanak-kanak dalam sesi penjagaan kesihatan gigi.
Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my


Program Global Islamic Student Outreach (GISO): Kembara Semai Kasih di Bumi Kemboja dan Vietnam baru-baru ini turut disertai 18 siswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus kekal menjadi kenangan selepas enam hari menjalani kehidupan bersama masyarakat Melayu Champa.

Mengharungi dan menyelami kehidupan masyarakat berkenaan ternyata bukan saja memberikan pengalaman terbaik tapi turut memberi pendedahan kepada siswa terbabit mengenai usaha murni melaksanakan misi khidmat komuniti bersama masyarakat antarabangsa.

Pengarah Program GISO Zul Haririe Mohamad Nabawi berkata, program berkenaan dilaksanakan rentetan cetusan rasa keprihatinan terhadap golongan minoriti Islam di kedua-dua negara yang memerlukan bantuan pihak luar.

Menurutnya, meskipun matlamat utama sekadar memberi pendedahan dan pengalaman baru, namun inti pati program turut diperkukuhkan dengan pengisian mekanisme bagi menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Ia boleh diibaratkan serampang dua mata, lebih-lebih lagi menjadi matlamat universiti melahirkan generasi yang peka terhadap tuntutan semasa bukan saja di peringkat tempatan malah antarabangsa.

“Semoga dengan penganjuran program seperti ini mampu memberi suntikan positif kepada peserta, pada masa sama membuka ruang kepada golongan sasaran untuk terus dibantu bagi mengukuhkan kehidupan serta akidah mereka,” katanya.

Perjalanan bagi memenuhi misi kemanusiaan 18 siswa yang juga ahli Kelab Debat USIM ternyata bukan mudah.

Memulakan perjalanan selama tujuh jam dari pusat bandar di Kemboja menyeberangi Sungai Mekong menaiki feri menjadi antara cabaran awal peserta sebelum tiba di perkampungan Chumnik.

Sepanjang tempoh misi itu, siswa USIM bukan saja menghulurkan tenaga membantu masyarakat perkampungan berkenaan dalam hal ehwal kehidupan harian malah turut melaksanakan pelbagai aktiviti di sekolah sebagai usaha menekankan kepentingan pendidikan demi masa depan yang lebih cemerlang -

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2017 @ 9:24 PM