SISWA UMP bersedia menunjukkan kekuatan masing-masing.
BERUSAHA melepasi cabaran sukar untuk menamatkan pertandingan.
MENCUBA kemampuan diri melalui halangan tayar.
Thulashi Murugayah
rencana@hmetro.com.my


Seramai 600 pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) mengambil bahagian dalam Titan Challenge: Survival of the Fittest anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni di UMP kampus Gambang, baru-baru ini.

Program berbentuk larian berhalangan ini mencabar kekuatan fizikal dan mental peserta yang memberi tumpuan kepada tujuh jenis halangan dan peserta perlu mengharungi ujian ini dalam lingkungan lima kilometer sekitar kampus UMP.

Timbalan Naib Canselor UMP Profesor Datuk Dr Yuserrie Zainuddin berkata program ini menjadi platform siswa mencabar diri terhadap aktiviti lasak sekali gus membina kekuatan fizikal.

Menurutnya, aktiviti ini juga dapat menggalakkan gaya hidup sihat untuk membentuk keseimbangan dari aspek spiritual, mental, intelektual, pembangunan fizikal dan personaliti.

“Pembabitan dalam bidang sukan dan kokurikulum sebagai satu lagi nilai tambah untuk membantu mereka berdepan daya saing sekali gus membentuk seseorang menjadi individu berfikiran positif.

“Dengan cara ini juga dapat meningkatkan keyakinan dan tidak cepat berputus asa,” katanya dalam ucapan perasmian program.

Peserta perlu melalui laluan tayar, laluan labah-labah, laluan jambatan, merangkak bawah jaring, laluan piramid, laluan hujan dan memanjat dinding.

Kesungguhan peserta yang mengambil bahagian dalam acara ini yang menyaksikan 10 peserta lelaki dan 10 perempuan terawal yang berjaya menamatkan halangan dipilih sebagai pemenang Titan Challenge 2017.

Dalam pertandingan itu, Norshakila Abdul Wahab dinobatkan pemenang kategori wanita yang menamatkan lariannya dalam masa 21 minit 12 saat manakala Khoo Chee Sean dinobatkan sebagai pemenang kategori lelaki menamatkan larian dalam masa 20 minit 13 saat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2017 @ 9:22 PM