Mazizul Dani
mazizul@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Individu yang cuba merasuah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dipercayai mempunyai lebih daripada satu gelaran.

Sultan Ibrahim bertitah, individu itu adalah orang tempatan dari Kuala Lumpur.

"Yes, yes (akan dedahkan nama). Tapi nama dia semakin panjang.

"Nama hanya akan didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Individu ini tiada kaitan dengan jemaah menteri. Kerajaan bersih dalam perkara ini.

"Individu itu orang tempatan di Kuala Lumpur," titahnya.

Sultan Johor mengulas mengenai ejen yang cuba merasuah baginda RM2 juta supaya baginda mencadangkan nama untuk mendapatkan gelaran Tan Sri.

Susulan daripada itu, SPRM akan bertemu dengannya esok mengenai perkara ini.

"Saya rasa terhina. SPRM akan datang bertemu saya dan lihat siasatannya bagaimana," titahnya.

Terdahulu dalam laman Facebook Sultan Johor, baginda bertitah menerima tawaran RM2 juta bagi mencadangkan nama kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) untuk gelaran 'Tan Sri' daripada Yang di-Pertuan Agong.

Baginda ditemui ketika tiba di Stesen KTMB Kuala Lumpur selepas memandu sendiri kereta api yang dinamakan Tanjung Kupang dari Johor Bahru.

Kereta api itu selamat tiba di Stesen KTMB Kuala Lumpur pada 4 petang.

Ketibaan baginda disambut ketua-ketua jabatan KTMB sebelum doa dibacakan.

Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan memandu kereta api milik KTMB itu dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur pada 9.27 pagi.

Baginda bertolak dari Johor Bahru Sentral (JB Sentral) dan singgah di Stesen Keretapi Kluang dan Segamat terlebih dahulu sebelum ke Kuala Lumpur.

Kereta api khas bernombor 1002 itu membawa penumpang terdiri daripada keluarga Diraja dan kakitangan KTMB berlepas dari Platform 4, JB Sentral.

Berita berkaitan:

Sultan 'jemput' SPRM ke istana

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2017 @ 5:51 PM
SULTAN Ibrahim selamat tiba di Stesen Keretapi KTMB Kuala Lumpur. FOTO Shahrul Redzuan Zulkifli