KELAJUAN maksimum mencecah 285 km/j.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


Lebar, rendah dan pantas menjadi tarikan utama model Porsche 718 Cayman dan 718 Cayman S serba baru yang dilancarkan untuk pasaran tempatan, baru-baru ini.

Menampilkan ciri hampir sama dengan model 718 Boxster yang diperkenalkan tahun lalu, Cayman direka bagi penggemar kenderaan Porsche yang mahukan pemanduan responsif.

Pengenalan generasi ketiga ini melalui perubahan sebagai sebuah kereta sport enjin tengah dua tempat duduk coupe berprestasi.

Didatangkan dengan dua varian enjin iaitu 2.0 liter dan 2.5 liter, kuasa maksimum 300PS dan 350PS serta daya kilas 380Nm dan 420Nm memberikan pemiliknya kepuasan memandu yang sebenar.

Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Auto Performance (SDAP) Arnt Bayer berkata, enjin empat silinder pengecaj turbo boxer ini bukan sahaja hebat di jalanan, malah menjimatkan penggunaan bahan api.

“Kotak gear PDK yang terdapat pada model Cayman menggunakan petrol sekitar 6.9 liter petrol manakala untuk Cayman S pada 7.3 liter untuk setiap 100 km,” katanya.

Rekaan luaran tampil lebih bergaya termasuk pembaharuan pada lampu hadapan Bi-Xenon de­ngan lampu nyalaan siang (DRL) serta bahagian lampu belakang nipis dengan teknologi tiga dimensi untuk lebih jelas.

Untuk bahagian dalaman, ia dipasang dengan opsyen lapisan kulit Sport-Tex atau fabrik yang pertama kali diperkenalkan untuk Cayman.

Ia turut dilengkapi Pengurusan Komunikasi Porsche (PCM) serta skrin sentuh bersaiz tujuh inci sebagai ciri standard kemudahan multimedia dan maklumat teknikal lain.

Harga 718 Cayman dan 718 Cayman S dari RM530,000 hingga RM700,000 dengan waranti empat tahun serta penyelenggaraan percuma untuk servis, alat ganti dan kos pekerja.

Pelancaran ini juga bersempena pembukaan Pusat Porsche Pulau Pinang yang dilengkapi ciri 3S bagi kemudahan pemilik jenama itu di bahagian utara.

Berkeluasan 10,844 meter persegi di tanah seluas 31,250 meter persegi, ia mampu memuatkan 10 kereta untuk dipamerkan serta sembilan ruang servis, gudang alat ganti, kafe dan ruang menunggu selesa yang eksklusif.

Pelaburan lebih RM15 juta diperuntukkan bagi kemudahan 3S di lokasi strategik Seberang Perai bagi kemudahan pemilik yang tinggal di kawasan utara.

Ia pusat Porsche ketiga selepas Glenmarie dan Sungai Besi yang dibuka pada 2010 dan 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2017 @ 5:08 AM