Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my


FILEM aksi, J Revolusi, terus hangat dan masih bertahan di 80 pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei, walaupun selepas tiga minggu ditayangkan.

Pengurus Besar, Kandungan Inovasi dan Digital Primeworks Distribution, Marini Ramlan menjelaskan filem yang menampilkan Zul Ariffin, Farid Kamil, Fazura dan Izara Aishah sebagai teraju utama itu, sudah membuat kutipan RM6.5 juta sepanjang ditayangkan bermula 2 Mac lalu.

Marini ditemui di majlis penyerahan hadiah Peraduan Tonton dan Menang J Revolusi, di Kuala Lumpur, hari ini.

Marini berkata, penerbit bersama filem ini, Grand Brilliance dan Infinitus Productions menganggarkan tayangan filem aksi itu akan berlanjutan lagi dua minggu.

“Walaupun filem ini bertembung dengan tayangan filem berbajet besar dari Hollywood seperti Kong: Skull Island dan Logan, namun sambutan penonton terhadap JRevolusi tidak kurang hebat,” katanya.

Marini turut mengakui komitmen ditunjukkan pelakon filem J Revolusi yang sanggup turun padang bagi mempromosikan karya dibintangi membantu dari sudut kutipan tiket.

“Saya berterima kasih kepada pelakon utama filem ini terutamanya Zul Ariffin dan Farid Kamil yang sudi meluangkan masa bertemu dengan penonton dan mempromosikan filem ini.

“Promosi filem tidak boleh bergantung kepada iklan dan sedutan filem semata-mata, tetapi ia harus dilaksanakan secara holistik dan memenuhi setiap platform sama ada konvensional mahupun digital,” katanya.

Menghangatkan lagi promosi filem J Revolusi, peraduan Tonton dan menang telah dianjurkan penerbit bermula 2 hingga 16 Mac lalu.

Pertandingan bagi memilih pemenang hadiah utama iaitu Mazda Skyactiv Hatchback, diadakan di Berjaya Times Square dan ia dimenangi G Vasantha, 41.

Turut hadir di majlis yang diadakan Pengurus Kanan Ekuiti Jenama Mazda, Ian Khong, Penerbit Eksekutif Infinitus Production, Gayatri Su Lin Pillai dan Penerbit Eksekutif, TP Lim.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mac 2017 @ 10:51 PM