FOTO Danial Saad
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my


KERAJAAN akan memberi fokus untuk menarik penyertaan lebih ramai pemain global baru terutama dari rantau Timur Tengah bagi penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA'19).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammudin Hussein, berkata rantau Timur Tengah memiliki prospek cerah dan menawarkan potensi besar baru untuk diterokai dan dimanfaatkan negara selaku penganjur acara dwi tahunan itu.

"Saya berharap edisi LIMA akan datang dapat menarik penyertaan daripada Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Qatar," katanya pada sidang media penutup LIMA 2017 (LIMA'17), di Langkawi, hari ini.

Selain itu, katanya, Kementerian Pertahanan akan terus meluaskan kerjasama dengan pelbagai kementerian lain untuk memastikan keberkesanan dan kelancaran LIMA pada masa akan datang.

"Langkah ini dilihat baik dan ia memberi kesan lebih baik seperti mana dibuktikan melalui kerjasama kami dengan Kementerian Pengangkutan. Kami melihat potensi untuk menjalinkan kerjasama dengan lebih banyak kementerian lain pada edisi akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2017 @ 7:37 PM