CHARLIZE Theron di sidang media filem The Fate of the Furious. FOTO Reuters
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


Beijing: Pelakon Charlize Theron yang pertama kali muncul dalam francais filem Fast & Furious tidak menolak sekiranya peminat mahukannya untuk muncul dalam dua lagi francais filem itu.

Charlize, 42, yang membawa watak penjahat, Cipher dalam filem berjudul The Fate of the Furious itu berkata, ia bergantung kepada kehendak penonton.

“Jika mereka mahukan Cipher muncul semula, saya tidak menolak untuk kembali semula,” katanya dalam temubual bersama Harian Metro, di sini, hari ini.

Menurut bintang Hollywood ini, dia sendiri teruja untuk terus meneroka watak Cipher.

“Cipher adalah watak yang boleh diterokai lagi. Sekiranya ada peluang, saya akan lakukannya,” katanya.

Chalize juga meluahkan rasa gembiranya apabila penerbit filem ini sentiasa melihat apa yang dimahukan peminat.

“Filem ini sebenarnya terbina oleh kehendak peminatnya sendiri dan saya sukakannya. Produksi filem ini daripada penerbit hinggalah pengarah mengambil setiap permintaan peminat setia sejak sekian lama.

“Agak menarik jika mereka mahukan saya semula dalam dua filem seterusnya,” katanya.

Dalam filem ini, Cipher adalah penjahat yang cuba memecah-belahkan hubungan baik di antara Dominic Toretto lakonan Vin Diesel dengan semua watak yang rapat dengannya.

Hadir sama dalam sesi temubual yang berlangsung di sini ialah seorang lagi pelakon, Jason Statham yang membawa watak Deckard Shaw dan pengarahnya, F Gary Gray.

The Fate of the Furious bakal ditayangkan di negara ini mulai 14 April depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2017 @ 6:11 PM