MAYAT mangsa dibawa oleh anggota bomba dan penduduk kampung selepas ditemui di Pantai Irama. FOTO ihsan bomba
Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@hmetro.com.my


Bachok: Kanak-kanak lelaki orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran ditemui lemas di Pantai Irama di sini, 3 petang tadi.

Mangsa, Mohd Amiruddin Ismail, 12, tergelincir dari batu sebelum jatuh ke pantai, 1 tengah hari tadi.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Pegawai Bomba Kanan I Ahmad Mazdan Jusoh berkata, mangsa yang tinggal di Kampung Bendang Ikan, Rantau Panjang datang ke pantai itu bersama jirannya.

Katanya, mangsa terjatuh dan orang ramai menghubungi bomba untuk bantuan mencari dan menyelamat.

"Kami menerima panggilan kecemasan pada 1.05 tengah hari dan enam anggota bergegas ke lokasi kejadian.

"Mayat mangsa ditemui dalam tempoh dua jam di lokasi dia terjatuh dan diserahkan kepada pihak polis," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2017 @ 5:06 PM