MAYAT mangsa ditemui anggota bomba kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian. FOTO ihsan Bomba
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor dan Mohd Khidir Zakaria
am@hmetro.com.my


Port Dickson: Anggota polis ditemui lemas selepas dibawa arus ketika memancing di tepi laut di Pulau Asam, Kampung Sungai Sekawang, Pasir Panjang, tengah hari tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Telok Kemang, Mohd Kamal Mohd Timar berkata, mayat Koperal Noramirul Ashraf Rahmat, 28, ditemui pada 12.10 tengah hari, selepas hampir dua jam mencari.

Menurutnya, mangsa dikatakan sedang bercuti dan pergi ke lokasi itu bersama dua rakannya untuk memancing.

"Mereka bermalam di lokasi berkenaan dan mula memancing kira-kira 10 pagi tadi. Ketika memancing, penutup bekas ikan dikatakan hanyut.

"Mangsa cuba mengambil penutup itu namun dibawa arus deras. Rakan yang melihat kejadian cuba menyelamatkannya tetapi gagal lalu menghubungi bomba untuk bantuan," katanya.

Menurutnya, 10 anggota terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) sebelum menemui mayat mangsa kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2017 @ 4:19 PM