TANJAK dikenali sebagai tengkolok atau destar .
SYARIFUDDIN menggayakan kostum dan tanjak Lang Menyusur Angin.
MODEL menggayakan tanjak Ayam Patah Kepak.
NAKHODA Trong.
MAHKOTA Alam.
AYAM Patah Kepak.
LANG Menyongsong Angin.
ANDERI Guru Selebu.
Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my


Cantik dan kemas dipandang apabila pakaian tradisional Melayu digayakan lengkap sedondon bersama tanjak.

Tanjak dikenali sebagai tengkolok atau destar yang mempunyai nama berbeza malah bentuk ikatan dan gaya juga berbeza mengikut negeri di Malaysia.

Di negara lain seperti India dan Arab ia dipanggil serban atau turban manakala bashlyks, katibi serta kazave adalah nama yang dikenali di Turki.

Penggunaan tanjak mengandungi falsafah tersendiri dan menjadi lambang hirarki sosial seseorang dalam masyarakat Melayu silam.

Kemodenan negara turut mempengaruhi budaya dan cara hidup masyarakat apabila lelaki lebih selesa dengan kemeja-T, seluar denim dan bertopi.

Kini pakaian tradisional Melayu lelaki hanya banyak diperagakan ketika pada majlis perkahwinan.

Jarang dilihat dalam kalangan pemuda hari ini yang masih berminat mendalami pakaian tradisional Melayu lebih-lebih lagi mereka yang sudah memiliki kerjaya profesional.

Menurut Muhammad Syarifuddin Ali, 34, minatnya bermula ketika dia ingin melangsungkan perkahwinan pada 2012.

“Saya mengunjungi beberapa kedai andaman untuk menyewa pakaian tradisional tetapi tidak berpuas hati dengan pilihan yang ada,” kata jurutera muda ini.

Bermula dari situ, beliau berusaha membuat carian di Internet dan bertemu dengan individu antaranya pensyarah di Fakulti Filem, Teater & Animasi serta penata kostum, Nur Afifi Mohamed Taib bagi menyewa kostum lelaki.

Beliau ditawarkan Nur Afifi untuk mengikuti bengkel pakaian tradisional Melayu. Beliau turut mahir membuat tanjak selepas mempelajarinya daripada pengasas komuniti Keris Warisan, Johan Iskandar.

“Saya pernah dicaci sewaktu memperkenalkan penggunaan tanjak secara terbuka malah menerima pandangan pelik daripada masyarakat seolah-olah saya penjenayah.

“Ketika itu masyarakat masih tidak mengambil berat khazanah negara yang perlu dipertahankan turun-temurun terutama lelaki.

“Namun hari ini, apabila sudah ramai komuniti warisan Melayu memperkenalkannya barulah masyarakat termasuk yang bukan Melayu mampu menerima keindahan dan gubahan tradisional ini,” katanya.

Kemahiran menggubah tanjak perlu dilakukan secara teliti dan mengikut tertib.

“Tukang tanjak perlu mahir melipat tanjak pertama sebelum menguasai kemahiran untuk membuat tanjak seterusnya kerana tanjak pertama itu mempunyai asas simpulan pada semua tanjak.

“Oleh itu, bentuknya perlu dikekalkan agar peranan tanjak selari dengan simpulan yang menunjukkan asal usul kita.

“Terdapat beberapa simpulan yang sudah wujud sebelum 1800 iaitu ketupat palas, ketupat seberang, garam sebuku, burasak laksamana dan burasak temenggung,” katanya yang turut membuat demonstrasi ketika di Temasya Keris & Budaya Warisan Melayu, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, baru-baru ini.

Mereka yang mempelajari ikatan tanjak sering melakukan kesalahan dengan melaraskan simpulan sedangkan ia perlu dimatikan kerana tanjak ibarat mahkota pemakai.

Selain kain songket, tanjak boleh disimpul menggunakan kain broket dan kain pelekat.

Kini penggunaan tanjak semakin diperluaskan dan tidak mengikut kenegerian agar budaya memakai tanjak tidak dihadkan dan boleh dipakai oleh sesiapa jua.

Beliau turut menerima tempahan membuat tanjak dan ia bergantung kepada jenis kain, corak, warna, lebar dan panjang kain selain permintaan untuk membuat simpulan baru.

INFO

• Lang Melayang - Dipakai pembesar Terengganu yang bergelar Datuk dan hanya dipakai pada majlis tertentu saja.

• Temenggong Kedah - Dipakai kerabat diraja Kedah tetapi pada zaman sekarang ikatan yang sama dipakai oleh golongan bukan istana dengan daun kuasa terletak di sebelah kiri.

• Tengkolok Putera Kayangan - Ia pernah dipakai oleh Almarhum Tunku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullai, Raja Perlis pada 1957 sewaktu menandatangani pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu. Warna latarnya adalah kuning diraja. Mempunyai tiga lipatan asas dan daun destarnya menghala ke atas.

• Pari Mudik - Terdapat beberapa jenis destar yang digunakan oleh Orang-Orang Besar Negeri Selangor zaman dulu. Tanjak ini pernah dipakai Datuk Abu Bakar Baginda, mantan Menteri Besar Selangor (1959-1964). Kedua-dua pucuk sirih destar ini diletakkan di sebelah telinga kiri pemakai.

• Lang Menyongsong Angin - Ia adalah reka bentuk unik yang menggambarkan helang sedang terbang melawan angin. Bentuk tengkolok ini diperbuat daripada songket hitam bersulam benang perak dan pernah dipakai oleh Raja Di Hilir Perak.

• Cogan Daun Kopi - Nama khas bagi bentuk destar yang dipakai oleh Sultan Pahang. Bentuk destar Pahang mudah dikenali daripada bentuknya yang segi tiga dan diikat secara menegak di atas dahi dan membiarkan bahagian kepala yang lain terdedah. Selain itu reka bentuk bunga atau daun itu terletak di sebelah depan destar itu.

• Dendam Tak Sudah - Banyak dipakai oleh masyarakat di Negeri Sembilan. Ikatan asas destar ini adalah sama, hanya perbezaan pada arah lambaian kasih dan bilangan takuknya.

• Ketam Budu - Ia digunakan oleh pembesar Kelantan yang berwarna hitam disulami benang emas. Destar ini dan destar lain seperti Destar Panglima Raja dan Paduka Raja menutupi seluruh bahagian kepala.

• Ikatan Belah - Mumbang ini adalah asas kepada semua jenis ikatan tanjak alam Melayu sejak ratusan tahun dulu. Bentuknya berupa layar perahu masyarakat Melayu yang berkait dengan Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2017 @ 11:20 AM