KESHI diramal ambil alih tugas Goikoetxea yang dipecat.

Johannesburg: Tuan rumah Piala Negara Afrika, Equatorial Guinea tidak mempunyai jurulatih ketika berbaki 13 hari sebelum menentang Congo pada aksi pembukaan kejohanan itu.

Presiden baru persekutuan bola sepak negara itu, Andres Jorge Mbomio memecat jurulatih dari Sepanyol, Andoni Goikoetxea pada 31 Disember lalu kerana tidak menemani skuad negara ke kem latihan di Portugal.

Bagaimanapun, keputusan perlawanan yang mengecewakan dalam dan luar negara turut memainkan peranan dengan keputusan mengejut membabitkan Nzalang Nacional (National Thunder).

Tuan rumah menamatkan saingan di kedudukan keempat dalam kejohanan membabitkan enam pasukan benua itu dan tewas 0-2 kepada kelab divisyen empat dari Portugal, Vilafranquense dalam aksi pemanas badan menjelang Piala Negara Afrika.

Spekulasi media melaporkan Stephen Keshi yang membimbing negara kelahirannya, Nigeria meraih gelaran Afrika pada 2013, akan mengambil alih dengan laporan tidak rasmi mengatakan beliau sudah berkunjung ke ibu negara Equatorial Guinea, Malabo minggu lalu.

Milovan Rajevac, perancang dari Serbia yang mengemudi Ghana ke suku akhir Piala Dunia 2010 Afrika Selatan, turut dilaporkan berpotensi menjadi pengganti. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 January 2015 @ 6:11 AM