PESAWAT tempur Rafale yang dirakamkan ketika matahari terbit di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL). FOTO Danial Saad
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my


DASSAULT Aviation, penyepadu sistem dan pengeluar pesawat juang Rafale memeterai memorandum persefahaman dengan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dalam kerangka Program Kolaborasi Industri (ICP) yang bakal diwujudkan tidak lama lagi.

Kerjasama di dalam kerangka ICP itu adalah sejajar dengan keperluan Kementerian Pertahanan bagi pembelian jet pejuang pelbagai peranan untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Naib Presiden Eksekutif Antarabangsa Dassault Aviation dan Pengarah Utusan Rafale International, Benoit Dussaugey, berkata perjanjian itu adalah mercu tanda penting dalam program kerjasama syarikat akan datang dengan menyasarkan pelaksanaan perkongsian jangka panjang antara ahli akademik, industri dan Rafale.

"Kami mahu membawa sokongan teguh kepada pembangunan projek ini dengan membabitkan rakan kongsi akademik Perancis terkemuka yang akan mencadangkan program latihan aeroangkasa khusus dan menyeluruh sejajar dengan keperluan Malaysia," katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman bersempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2017 (LIMA'17), di Langkawi, hari ini.

Melalui perjanjian itu, kedua-dua pihak mengesahkan hasrat untuk meneroka secara bersama bidang berkaitan dan meraih manfaat bersama daripada kepakaran masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2017 @ 3:58 PM