SUSPEK di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam 17 Mac lalu untuk menghadapi tuduhan mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. FOTO arkib NSTP
Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my


Permatang Pauh: Wanita yang memandu lawan arus sehingga menyebabkan lelaki maut minggu lalu akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, esok atas mengikut Seksyen 44 (1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pihaknya sudah berjumpa dengan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berhubung kes berkenaan, semalam.

Beliau berkata, selepas berbincang kesemua pihak bersetuju bahawa suspek dituduh mengikut Seksyen 44 (1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sebelum ini, polis menyiasat kemalangan berkenaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas cadangan Pejabat Timbalan Pendakwa Raya walaupun sebelumnya kes disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987

Dalam kejadian Selasa minggu lalu, lelaki, 26, maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Lebuhraya Utara Selatan arah utara angkara seorang pemandu remaja berusia 19 tahun yang memandu lawan arus secara melulu di laluan kanan lebuh raya berkenaan.

Wanita berkenaan didapati positif dadah dan sudah dituduh di mahkamah yang sama Jumaat lalu mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 namun tidak mengaku bersalah.

Suspek kemudian dibenarkan ikat jamin RM 5,000 dengan dua orang penjamin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2017 @ 3:13 PM