Sultan Ibrahim Iskandar bertitah pada Istiadat Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Johor di Istana Besar Johor. Turut berangkat, Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah dan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Ibrahim (kiri) serta isteri Che Puan Khaleeda Bustamam. - Foto Ihsan JABATAN PENERANGAN
Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my

 

Johor Bahru: Sultan Johor Sultan Ibrahim menasihati orang ramai supaya tidak tertipu sekiranya ada pihak menyatakan darjah kebesaran negeri Johor boleh dibeli.

Baginda bertitah, perkenan untuk mengurniakan darjah dan pingat kebesaran hanya kepada individu yang difikirkan layak berdasarkan merit dan taat setia kepada baginda dan kerajaan Johor.

"Darjah kebesaran Johor amat tinggi nilainya dan tiada sesiapa pun yang boleh memberi cadangan nama, kecuali atas titah perkenan saya.

"Saya suka ingatkan orang di luar Johor tetapi jika masih ada yang sanggup ditipu, terpulanglah, jangan salahkan saya.

"Satu enakmen juga diluluskan untuk mencegah penggunaan tidak wajar lambang, gelaran dan anugerah Johor yang diharap dapat dikuatkuasa segera," titahnya.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Istiadat Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan 2017 di Dewan Singgahsana Istana Besar Johor hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2017 @ 1:17 PM