Siti Fatimah Hassan dan Sri Ayu Kartika Amri
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Alibaba Group memilih Malaysia untuk meluaskan e-hab Platform Perdagangan Dunia Elektroniknya (eWTP), sekali gus memberi kelebihan kepada golongan belia serta pengusaha kecil dan sederhana (PKS) mengambil bahagian.

Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan mengetuai projek terbabit dan konsep e-hab eWTP di bawah Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ).

Pengerusi Eksekutif Alibaba Group, Jack Ma berkata, pihaknya membuat visi bagi eWTP dari tahun lalu dan menggalas tanggungjawab untuk merealisasikannya.

“E-hab ini adalah yang pertama dibuat di luar China dan akan bergerak menjadikan perdagangan global lebih inklusif dan menyediakan lebih banyak sokongan kepada PKS dan generasi muda.

“Dengan inovasi merangkumi semua rantaian bekalan, sokongan kerajaan dan kerjasama sektor swasta, kami yakin dapat mencapai kejayaan seperti yang dirancang bagi menghadapi fasa globalisasi,” katanya di majlis pelancaran DFTZ, di sini, semalam.

Hadir merasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sebagai sebahagian inisiatif DFTZ, e-hab itu nanti akan menyediakan peluang baru komersial dan mengukuhkan perdagangan serantau.

Di majlis yang sama, turut diadakan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Alibaba Group dan MDEC yang membabitkan Alibaba Logistik, Cainiao Network dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) serta CIMB dan Maybank.

Perjanjian itu membabitkan pelan tindakan lanjutan bagi memperluaskan lagi e-hab eWTP pada masa akan datang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Datuk Yasmin Mahmood berkata, pihaknya menjangkakan pertumbuhan sekali ganda dalam eksport PKS menjelang 2025.

“Malaysia sangat sesuai sebagai hab digital ekonomi serantau dan Malaysia menjadi pilihan kerana Alibaba melihat kepada potensi yang ada pada negara kita.

“MDEC dan Alibaba Group akan terus bekerjasama untuk menjadikan visi DFTZ ini kenyataan dan membantu meningkatkan ekonomi e-dagang negara dan PKS dalam meneroka pasaran tanpa sempadan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2017 @ 11:52 AM