United Kingdom juga melarang peranti elektronik dibawa ke dalam kabin untuk penerbangan dari beberapa negara.
Agensi

London: Selepas Amerika Syarikat, United Kingdom pula melarang peranti elektronik kecuali telefon bimbit dibawa ke dalam kabin pesawat untuk penerbangan terus dari Turki, Lubnan, Jordan, Mesir, Tunisia dan Arab Saudi.

Laporan media Britain menyatakan berikutan larangan atas alasan keselamatan itu, peranti elektronik termasuk iPad, tablet dan komputer riba perlu disimpan dalam bagasi.

Semalam, Amerika melarang peranti elektronik dibawa ke dalam kabin penerbangan untuk penerbangan terus ke Amerika dari lapan negara iaitu Jordan, Mesir, Turki, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait, Maghribi dan Qatar. membabitkan lapangan terbang di Amman, Kaherah, Kuwait City, Doha, Dubai, Istanbul, Abu Dhabi, Casablanca, Riyadh dan Jeddah.

Kebimbangan keselamatan itu antara lain, kejadian tahun lalu apabila militan al-Shabaab menyeludup masuk komputer riba berisi bom ke dalam penerbangan ke Mogadishu, Somalia.

Letupan bom itu menyebabkan dinding pesawat berlubang namun pesawat yang ketika itu terbang rendah membolehkan ia didaratkan dengan selamat.

United Kingdom mendakwa pasukan keselamatannya menggagalkan 13 cubaan serangan sejak empat tahun lalu, dan menyiasat lebih 500 kes kemungkinan serangan pada satu-satu masa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2017 @ 10:07 AM