PEMAIN negara, Ahmad Alias (kiri) cuba menyekat pemain Britain, David Goodfield (tengah).

Johor Bahru: Laluan skuad hoki remaja negara untuk menempah tiket final Piala Sultan Johor sudah tertutup rapat selepas mengalami kekalahan kedua, kali ini tunduk 2-3 kepada Britain pada perlawanan ketiga semalam.

"Dua gol awal dijaringkan Britain akibat pemain hilang fokus dan kurang keyakinan.

"Tapi pada separuh masa kedua, mereka nampak lebih yakin dan selepas meraih gol pertama, setiap pemain mula mendapat rentak.

"Setiap pemain perlu pantas berfikir dan itulah masalah yang perlu diatasi ketika ini," kata ketua jurulatih Arul Selvaraj.

Bayangan awal kekalahan skuad negara bermula sejak awal perlawanan lagi apabila mereka membenarkan banyak ruang buat barisan pemain Britain melancarkan serangan.

Hasilnya, Britain di depan pada minit kelima hasil gol padang Benjamin Boon, menewaskan penjaga gol negara, Mohammad Ridzwan Azmi.

Belum sempat skuad negara mahu memperkemaskan rentak permainan, benteng skuad negara dihukum lagi seminit selepas itu, kali ini menerusi jaringan David Goodfield.

Malaysia cuba mencari ruang merapatkan jurang, tetapi ketandusan idea dalam kawasan D menyebabkan segala peluang terhidang disia-siakan begitu saja.

Bersambung babak kedua, skuad negara berjaya merapatkan jurang pada minit ke-36 hasil jaringan Muhd Sufi Ismat Rohulamin yang menerima hantaran cantik ketua pasukan Muhammad Haziq Samsul.

Namun seminit selepas itu, Britain pula dihadiahkan pukulan sudut penalti tetapi mereka gagal memanfaatkan peluang dengan baik untuk menambah jaringan.

Skuad negara terus melakukan asakan dan hasilnya mereka dihadiahkan pukulan sudut penalti minit ke-49, tetapi tolakan Shahril Saabah ditampan penjaga gol Britain Harry Gibson.

Luke Taylor menambah jaringan ketiga untuk Britain selepas menguis deras masuk ke gawang skuad negara hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-62.

Bagaimanapun Shahril merapatkan jurang untuk skuad negara menerusi pukulan sudut penalti minit ke-65 tetapi sudah terlambat untuk Malaysia mencari gol penyamaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Oktober 2014 @ 5:32 AM