Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my

Manjung: Tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan seorang wanita daripada cubaan membunuh diri dengan terjun dari jejantas setinggi tiga meter berhampiran Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Manjung, di sini, 8.42 malam tadi.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung Pegawai Bomba Kanan II Ismadi Darusman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.43 malam.

Menurutnya, sembilan anggota yang diketuainya bersama sebuah jentera serta Unit Penyelamat dan Paramedik (EMRS) ke lokasi.

"Ketika bomba tiba wanita berusia 21 tahun yang beralamat di Kampung Semat, Manong dekat Kuala Kangsar itu sudah berada di atas jejantas dan menghalang anggota menghampirinya.

"Difahamkan rakan mangsa yang berada di lokasi kejadian memberitahu mangsa mempunyai masalah peribadi dan berada dalam keadaan tertekan," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Ismadi berkata, seramai enam anggota berada di atas jejantas untuk memujuk mangsa.

"Kami mengambil masa 10 minit memujuk mangsa namun mangsa bertindak agresif ketika anggota cuba menyelamatkannya sebelum seorang anggota wanita sempat memegang tangan mangsa dan dibawa turun.

"Wanita terbabit tidak cedera namun berada dalam keadaan lemah serta dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya pada 9 malam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2017 @ 11:06 PM
Wanita cuba bunuh diri diselamatkan anggota bomba. FOTOIdzrul Akmar Rosli