Lai Shi Yu,16, ditemui dalam keadaan lemah oleh pasukan mencari dan menyelamat di paras tujuh gunung Santubong kira-kira jam 9.45 malam tadi. FOTO ihsan bomba
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my

Santubong: Pelajar perempuan yang dikhuatiri sesat ketika menuruni Gunung Santubong ditemui dalam selamat malam tadi.

Lai Shi Yu,16, ditemui dalam keadaan lemah oleh pasukan mencari dan menyelamat di paras tujuh gunung berkenaan kira-kira jam 9.45 malam.

Difahamkan, mangsa keletihan dan tidak dapat meneruskan perjalanan ke kaki gunung selain lampu suluh yang sudah kehabisan bateri.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Tiong Ling Hii berkata, mangsa di bawa turun ke kaki gunung sebelum diberi rawatan kecemasan oleh pasukan bomba.

"Mangsa ditemui lemah namun tidak mengalami sebarang kecederaan. Kini beliau sudah di bawa ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut," katanya.

Katanya, operasi SAR yang dijalankan bersama pasukan polis, Angkatan Pertahanan Awam ditamatkan jam 10.30 malam tadi.

Mangsa yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Tapang bersama 72 pelajar dan 10 guru mendaki gunung berkenaan pagi tadi.

Namun, mangsa dikesan tidak bersama terpisah dari kumpulan itu oleh guru pengiring ketika berada di paras lima gunung berkenaan.

 

 

 

Keterangan gambar

1) Mangsa di bawa ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2017 @ 10:59 PM