Pelajar perempuan Sekolah Menengah Sungai Tapang, Kuching (tengah) yang dikhuatiri hilang ketika menuruni Gunung Santubong, hari ini. FOTO ihsan bomba
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my


Santubong: Pelajar perempuan Sekolah Menengah Sungai Tapang, Kuching, dikhuatiri hilang ketika menuruni Gunung Santubong, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, mangsa yang berusia 16 tahun disedari hilang selepas tidak bersama guru dan rakannya.

Difahamkan, kumpulan pelajar terbabit mendaki gunung berkenaan bagi menjalani aktiviti rekreasi pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Tiong Long Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.20 petang daripada guru yang membawa kumpulan berkenaan.

Menurutnya, seramai 68 peserta daripada 73 guru dan pelajar itu sudah selamat tiba di kaki gunung manakala empat lagi masih berada di paras lima gunung berkenaan.

"Seorang saja pelajar yang masih belum ditemui dan pasukan bomba sudah menggerakkan anggota naik ke gunung berkenaan untuk mencari.

"Sektor pencarian juga diperluaskan dengan penambahan anggota Pasukan Multi Skill Team (MUST) dan Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) ke kawasan gunung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2017 @ 9:28 PM