Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


Johor Bahru: Dua warga Indonesia masing-masing didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas didapati bersalah terhadap tiga pertuduhan menyimpan 247 burung murai batu yang juga spesies hidupan liar dilindungi, minggu lalu.

Aat Yudianto, 49 dan Ernawan Hadianto, 25, turut diperintah menjalani hukuman penjara 12 bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Hakim Kamarudin Kamsun membuat keputusan itu selepas kedua-dua tertuduh mengaku bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah ke atas mereka.

Berdasarkan tuduhan pertama, mereka bersama-sama didakwa menyimpan 214 burung murai batu di bahagian bawah tempat letak barang sebuah bas di Kilometer 32.8 arah selatan, berhampiran Hentian Sebelah Kulai dekat Kulai, kira-kira 6.10 pagi, 14 Mac lalu.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 60(2) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mereka turut didakwa bagi pertuduhan kedua dan ketiga iaitu menyimpan tiga burung murai batu yang tidak matang dan 30 burung murai batu betina di tempat, masa dan hari yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 61 dan Seksyen 62 akta yang sama yang kedua-duanya membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim menjatuhkan hukuman denda RM20,000 terhadap setiap tertuduh bagi pertuduhan pertama, manakala masing-masing RM5,000 bagi setiap seorang untuk pertuduhan kedua dan ketiga.

Di mahkamah sama, seorang pemandu bas, Yusof Misoun, 61, yang turut menghadapi tiga pertuduhan yang sama mengaku tidak bersalah.

Mahkamah menetapkan 6 April ini untuk sebutan semula kes bagi tertuduh itu dengan membenarkan dia diikat jamin RM5,000 tanpa cagaran.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Johor, Shamsul Hakim Ahmad, manakala tertuduh pertama dan kedua diwakili peguam Muhammad Ashraf Mohd Diah dan tertuduh ketiga diwakili peguam Mohd Tarmeze Mohd Taib.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2017 @ 2:14 PM