GAMBAR dirakam kelmarin menunjukkan bendera Daish (dalam bulatan) masih berkibar di menara masjid itu. - Reuters
AFP

Mosul: Pasukan elit Iraq dilapor bertempur dari rumah ke rumah di Bandar Lama Mosul semalam dan semakin hampir dengan masjid tempat ketua Daish Abu Bakr al-Baghdadi mengisytiharkan dirinya khalifah.

Iraq melancarkan operasi untuk menawan semula barat Mosul pada 19 Februari lalu, kubu terbesar terakhir Daish di negara itu.

Menurut pegawai kanan Iraq, walaupun kemaraan tentera dan polis negara itu di kawasan berkenaan amat perlahan, mereka berjaya menawan beberapa kawasan di sekitar Bandar Lama itu yang termasuk dalam daerah barat Mosul.

“Tentera kami hanya 800 meter dari masjid itu,” kata Kapten Firas al-Zuwaidi, jurucakap Pasukan Tindak Cepat, unit elit Kementerian Dalam Negeri Iraq.

Masjid yang dikatakannya merujuk kepada Masjid Al-Nuri, tempat Abu Bakr mengisytiharkan dirinya khalifah pada Julai 2014.

Sehingga petang semalam, bendera hitam Daish masih berkibar di menara masjid itu.

Sebuah stesen kereta api tidak jauh dari masjid berkenaan kini hampir ditawan pasukan elit berkenaan.

Kejayaan menawan Masjid Al-Nuri akan menjadi simbol kemenangan penting kepada kerajaan Iraq.

Bagaimanapun, kira-kira 2,000 militan Daish yang berada di barat Mosul memberi tentangan sengit, termasuk melancarkan serangan motar untuk mempertahankan masjid itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2017 @ 7:30 AM