Siti A'isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


Putrajaya: Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar akan memberi kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan kes seorang anggota Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu cedera terkena tembakan yang dipercayai dilepaskan sindiket pembalak haram, kelmarin.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerjasama itu supaya dalang di sebalik kejadian berkenaan dapat dibawa ke muka pengadilan.

“Saya memandang serius kejadian membabitkan pegawai kerajaan yang menjalankan tugas melindungi khazanah hutan negara.

"Kejadian ini tidak boleh dipandang ringan dan saya agak terkilan ada individu yang berani mencederakan anggota penguatkuasa," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Seorang anggota Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu cedera di pinggang terkena tembakan dipercayai menggunakan senapang angin kejadian di Kampung Serdang berhampiran Hutan Simpan Bukit Bauk, Dungun, kelmarin.

Sindiket berkenaan dipercayai melepaskan tiga das tembakan ke arah dua anggota yang sedang melakukan serbuan bersama lapan anggota lain.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa berusia 40-an dan bertugas sebagai mekanik dikatakan sedang menghidupkan sebuah jentera eskavator yang disita di tapak kegiatan pembalakan haram berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mac 2017 @ 6:01 PM