Jentera eskavator yang dirampas dan kecederaan di pinggang seorang anggota Jabatan Perhutanan Terengganu. -Foto Ihsan Jabatan Perhutanan Terengganu.
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


Kuala Terengganu: Seorang anggota Jabatan Perhutanan Negeri cedera di pinggang terkena tembakan dipercayai senapang angin yang dilepaskan anggota sindiket pembalak haram di Kampung Serdang berhampiran Hutan Simpan Bukit Bauk, Dungun, kelmarin.

Sindiket berkenaan dipercayai melepaskan tiga das tembakan ke arah dua anggota yang sedang menjalankan serbuan bersama lapan lagi anggota.

Dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu, mangsa berusia 40-an sedang menghidupkan jentera eskavator yang disita di tapak kegiatan pembalakan haram berkenaan.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Datuk Ahmad Fadzil Abd Majid berkata, anggota serbuan terdengar bunyi seakan-akan ranting patah sebanyak tiga kali sebelum mangsa mengadu kesakitan di pinggang.

"Seorang lagi anggota turut terkena tembakan dilepaskan namun dia bernasib baik kerana peluru bebola besi terkena beg digalasnya.

"Sebelum itu, 10 pegawai dan anggota bergegas ke lokasi selepas menerima maklumat awam mengenai pembalakan haram di lokasi berkenaan dan menyita sebuah jentera eskavator.

"Keadaan di lokasi kejadian gelap tanpa pencahayaan dan apabila mangsa menghidupkan jentera itu, lampunya menerangi kawasan pembalakan berkenaan dan dipercayai memberi peluang kepada suspek melepaskan tembakan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacob ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mac 2017 @ 5:13 PM