Ab Aziz membantu mengecat rumah warga tua, Aminah Dahlan, 87, (empat dari kiri) disaksikan Pengarah JKM Johor, Datuk Mohd Daud Arbak (tiga dari kiri) di Kampung Parit Jawa, Tanjung Sembrong, Parit Raja, Batu Pahat, hari ini. - Foto ESSA ABU YAMIN
Mohamad Fahd Rahmat
Fahd@hmetro.com.my

Batu Pahat : Kementerian Pengangkutan bercadang menggantung dan membatalkan lesen pengguna jalan raya yang didapati bersalah memandu secara cuai, termasuk menyebabkan kematian.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, hukuman itu wajar bagi memberikan kesedaran kepada pengguna supaya mematuhi undang-undang lalu lintas, walaupun mereka tiada niat membunuh.

"Mereka yang terbabit dalam kemalangan jalan raya sehingga mengakibatkan kematian pengguna jalan raya lain sebenarnya tiada niat untuk membunuh, namun bagi kementerian, hukuman gantung atau batal lesen adalah wajar.

"Jika sebelum ini hukuman yang dikenakan hanya denda sehingga RM10,000 dan penjara, namun sekarang kita menimbang untuk tidak membenarkan mereka memandu kerana mereka dianggap pemandu berbahaya.

“Hukuman menggantung dan membatalkan lesen itu kini dalam peringkat akhir kajian, dan pelbagai pihak diharap dapat memberikan pandangan,”  katanya ketika Program Jambatan Gema Kasih, Sukarelawan Kebajikan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Johor di Kampung Parit Jawa, Parit Raja, di sini hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mac 2017 @ 3:36 PM