Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


Johor Bahru: Seorang tukang masak terbunuh selepas ditikam diperut oleh pekerjanya dalam kejadian di kedai bakeri di Jalan Dato Abdullah Tahir, di sini, hari ini.

Lelaki tempatan berusia 32 tahun itu ditikam di bahagian perut sebelah kiri dengan pisau di dapur kedai itu dalam kejadian 10.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh, berkata pihaknya menerima panggilan telefon awam mengenai pergaduhan itu pada 11.50 pagi.

Beliau berkata, pertengkaran berlaku di dapur premis membabitkan mangsa dengan pekerjanya yang juga pelayan di kedai itu.

Siasatan awal polis mendapati suspek yang juga lelaki Myanmar berusia 26 tahun itu marah apabila ditegur kerana berbual terlalu lama dengan teman wanitanya yang juga bekerja di kedai itu.

"Selepas ditegur, suspek marah dan berlaku pertengkaran sebelum lelaki asing itu capai pisau sepanjang 35.56 sentimer dan menikam perut mangsa," katanya.

Beliau berkata, suspek kemudian melarikan diri dengan pisau berdarah itu melalui pintu utama premis.

Menurutnya, senjata terbabit kemudian dicampakkan ke dalam kolam hiasan kecil di hadapan premis itu.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk bedah siasat dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mac 2017 @ 8:43 PM