Pangkalan Bun : Seramai 57 penyelam daripada kapal KRI Banda Aceh memulakan misi mencari bangkai pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang terhempas di Selat Karimata, pagi ini.

Persediaan untuk misi itu dimulakan sejak 5.30 pagi waktu tempatan dan tiga bot kecil digunakan untuk membawa peralatan menyelam.

Kedalaman kawasan menyelam itu adalah antara 30 hingga 40 meter dan jarak penglihatan antara 1 hingga 2 meter.

Arus pula antara 2 hingga 3 knot dan ombak setinggi 2 hingga 3 meter.

Pasukan penyelam utama turun sekitar 7.20 pagi waktu tempatan untuk menentukan kedudukan bangkai pesawat serta memasang tanda.

Cuaca di kawasan operasi mendung dengan hujan rintik-rintik.

Operasi penyelanan ini cuba dijalankan sejak kelmarin selepas tambahan 47 penyelam tiba di KRI Banda Aceh. Namun faktor cuaca yang tidak mengizinkan memaksa operasi itu ditangguhkan. - Kompas.com

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 January 2015 @ 10:42 AM