ANTARA finalis ANI2014 (dari kiri) Al-Kautsar, Anas Tahir, Daqmie, Halim Ahmad, Mawi dan Hafiz Hamidun akan berentap 10 Januari ini.
Oleh Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my


Mungkin ramai melihat irama nasyid kurang sambutan berbanding pada zaman kebangkitan Raihan dan Rabbani dulu tetapi hakikatnya, masih ramai memperjuangkan irama itu.

Malah, muzik nasyid saat ini dilihat berevolusi mengikut peredaran zaman dan ia kini bukan saja diperjuangkan penyanyi nasyid semata-mata, tetapi juga penyanyi yang aktif di luar genre itu sebelum ini.

Kemunculan Anugerah Nasyid Ikim FM 2014 (ANI2014) yang akan bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di TV Alhijrah pada 10 Januari, jam 9 malam dianggap satu rahmat buat semua pencinta nasyid.

Bakal menyaksikan selebriti terkenal, Amin Idris dan Heliza Helmi sebagai pengacara, ia me­nyaksikan pertarungan hebat finalis seperti Mawi bersama Datuk AC Mizal, Daqmie, Hafiz Hamidun, Halim Ahmad, Nowseeheart, UNIC, Inteam, gandingan kumpulan Du'a bersama Ustaz Amal, Alkautsar, Anas Tahir dan Azfar.

Dari segi persiapan, ­Daqmie atau nama sebenarnya Azmee Abdul Manaf, 42, berkata, secara mental dia hanya mampu berserah dan berdoa supaya diberi kesihatan baik.

"Di segi fizikal pula, saya banyak melakukan latihan secara berkumpulan dan membina stamina secara berjalan seperti sering dilakukan," katanya.

Penyanyi bersuara lantang yang pernah muncul bersama kumpulan rock East (1991) dan Barongan (2003) itu akui persiapannya sekadar ala kadar, tapi bersyukur dapat berada di pentas akhir bersama penasyid lain.

Katanya, nasyid tidak pernah mati dan ia masih bergerak seperti biasa, hampir sama seperti mula-mula genre itu diperkenalkan dalam industri hiburan.

"Oleh kerana kekurangan hubungan antara penasyid dan media, ia dilihat merudum. Dengan ada­nya acara seperti ini, ia seolah-olah jambatan yang menghubungkan semua pihak yang bertanggung jawab menaikkan industri.

"Media cetak, elektronik, sosial dan penggiat nasyid berganding bahu menyokong industri hiburan yang sihat. Kita hanya berusaha, harap segala-galanya termakbul," katanya penuh harapan.

Daqmie juga terharu dan bersyukur apabila dia dianggap pencabar utama dalam ANI2014. Katanya, terima kasih atas kepercayaan dan sokongan diberikan kepadanya.

"Bagi saya, semua finalis adalah terbaik dan ada peluang sama rata. Saya melihat ANI2014 sebagai platform untuk merapatkan lagi silaturahim antara penasyid lama dan baru," katanya akan membawa konsep watan pada pentas akhir.

Bagi penasyid yang menyanyikan lagu Rindu Ini, kumpulan Du'a bersama Ustaz Amal, Alkautsar, Anas Tahir dan Azfar berkata, setakat ini persiapan mereka hampir 70 peratus siap.

Alkautsar atau nama sebenar­nya Muhammad Kautsar Mat Sin, 37, akui persiapan dilakukan dua ­minggu selepas diumumkan ­sebagai finalis.

Katanya, persiapan itu meliputi aspek menyiapkan kostum serta vokal.

"Pun begitu, ada cabarannya. Oleh kerana lagu Rindu Ini membabitkan gabungan beberapa penasyid duo dan solo, susah sikit kami nak urus masa berkumpul bersama kerana masalah komitmen luar.

"Setakat ini latihan vokal ba­nyak dilakukan secara sendiri dan kami banyak berhubung melalui WhatsApp," katanya.

Dalam pada itu, penasyid solo Abdul Halim Ahmad berkata, ANI2014 dilihat sebagai pencetus untuk pengkarya baru dan lama kembali merancakkan industri.

Sama seperti Daqmie, Halim yang juga bekas anggota kumpulan nasyid Devotees akui genre nasyid sebenarnya masih subur seperti dulu.

"Insya-Allah, pada 2015 mung­kin kita melihat perkembangan genre nasyid kembali mendapat perhatian media. Apatah lagi kita boleh lihat bagaimana sambutan diberi kepada penyanyi antarabangsa, Maher Zain.

"Malah, album Zikir Terapi oleh Hafiz Hamidun mendapat sambutan menggalakkan, mengalahkan album komersial lain dan ia satu kebanggaan kepada penasyid," kata Halim yang pertaruhkan lagu Dalam Sujud Cintaku di ANI2014.

Walaupun negara dilanda musibah banjir dan beberapa ujian lain, Halim berpendapat ANI2014 mampu memberi sedikit semangat kepada mereka yang terbabit.

Katanya, ANI2014 bukan pentas hiburan semata-mata, sebaliknya ia mengajak penonton dan pende­ngar berbuat kebaikan.

"Masa sama, ia memberi sedikit terapi kepada mangsa banjir supaya tabah berdepan dugaan Allah. ANI2014 adalah acara Islamik dan bukan anugerah biasa yang melalaikan," katanya.

Mengenai finalis berpontensi, Halim tanpa berselindung akui Daqmie dan Hafiz Hamidun sebagai penasyid yang mempunyai peluang luas meraih anugerah kerana kualiti dan mesej karya lagu yang disampaikan.

Selain Daqmie (Tangis Sebatang Tamar), Du'a dan Halim, lagu lain yang layak ke pentas akhir ialah Al-Haq... Yang Satu (Mawi bersama Datuk AC Mizal), Iman & Aman (Inteam), Jodoh Berdua dan Kasih Padamu (Hafiz Hamidun), Maafkan Aku (Nowseeheart), Seiring Sehaluan (UNIC) dan Ucaplah Alhamdulillah (Amirul Haswendy).

Sebanyak 10 kategori anugerah dipertandingkan iaitu Lagu Terbaik, Lirik Terbaik, Persembahan Terbaik, Vokal Terbaik, Lagu Paling Banyak Menjuarai Carta IKIM, Lagu Paling Lama Bertahan Dalam Carta IKIM, Artis Baru Terbaik, Artis Solo Pilihan Pendengar, Artis Duo/Berkumpulan Pilihan Pendengar dan Lagu Pilihan Pendengar.

Pemenang kategori Lagu Terbaik, Lirik Terbaik, Persembahan Terbaik dan Vokal Terbaik dinilai barisan juri profesional. Keputusan akan diumumkan apabila tamat persembahan pada malam kemuncak ANI 2014.

Anugerah Lagu Paling Banyak Menjuarai Carta IKIM, Lagu Paling Lama Bertahan Dalam Carta IKIM dan Artis Baru Terbaik akan diberi kepada lagu yang mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang musim keenam Carta IKIM.fm.

Bagi kategori Artis Solo Pilihan Pendengar, Artis Duo/Berkumpulan Pilihan Pendengar dan Lagu Pilihan Pendengar pula, keputusan ditentukan sepenuhnya peminat IKIM.fm menerusi undian khidmat pesanan ringkas (SMS).

Hasil kutipan undian SMS akan disumbangkan kepada badan kebajikan terpilih. Butir lanjut undian SMS boleh diketahui menerusi laman sesawang IKIM.fm.

Pemenang akan membawa pulang trofi dan wang tunai yang akan diumumkan jumlahnya pada malam kemuncak ANI 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 January 2015 @ 7:35 AM