MIN Li (kanan) dan Ueda dinobatkan sebagai penerima anugerah platinum AYDA 2016
Hartini Mohd Nawi
hartini@hmetro.com.my


Yogjakarta: Pereka muda dari Malaysia Chai Min Li, 23, dinobatkan sebagai pemenang anugerah platinum serantau kategori rekaan dalaman Anugerah Pereka Muda Asia (AYDA) 2016 yang berlangsung di sini, hari ini.

Sementara anugerah platinum kategori seni bina dimenangi Ueda Mitsumori, 25, dari Jepun.

Setiap satu membawa pulang trofi, sijil dan wang tunai RM4,500 sumbangan Nippon Paint.

“Saya sangat berbangga dengan kemenangan ini dan dan tidak sangka berjaya menewaskan pereka muda lain.

“Malah menjadi pembakar semangat kepada saya untuk terus menceburi dunia rekaan dalaman,” kata anak kelahiran Kulai, Johor itu.

Majlis penyampaian anugerah yang disempurnakan pengurus besar kumpulan Nippon Paint Malaysia Gladys Goh.

Ia sempena Program Pembelajaran Serantau AYDA 2016 di Hotel Harper Mangkubumi.

Menariknya program itu menghimpunkan 22 penerima anugerah emas bagi kedua-dua kategori mewakili negara masing-masing.

Selama tiga hari, semua penerima anugerah emas itu perlu mengikuti setiap aktiviti yang bermula dengan perkongsian ilmu dari pakar arkitek dan pereka dalaman hingga perbentangan hasil kerja masing-masing.

AYDA adalah pertandingan rekaan premium untuk pelajar rekaan dalaman dan seni bina seluruh Asia anjuran syarikat pengeluar cat Nippon Paint.

Ia membabitkan 15 negara terdiri daripada Malaysia, Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia, Vietnam, Hong Kong, China, Jepun, Pakistan, Bangladesh, India, Taiwan, Papua New Guinea dan Sri Lanka.

Sekali gus menjadi antara platform atau landasan untuk pelajar rekaan dalaman dan seni bina mengembangkan kemahiran serta kreativiti mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mac 2017 @ 1:00 AM