ANGGOTA penyelamat menemui mayat mangsa dalam masa hampir 28 jam dilaporkan hilang. FOTO ihsan Bomba
Muhamad Izzat Nasuruden
am@hmetro.com.my


Teluk Intan: Mayat lelaki warga emas yang dipercayai terjun dari Jambatan Batu Lima, Sungai Perak di sini semalam dijumpai kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian hari ini.

Shoong Fong Loong, 79, ditemui 3.55 petang dalam keadaan terapung selepas dipercayai terjun dari jambatan itu 12.15 tengah hari semalam.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan, Penolong Penguasa Bomba, Zulkafle Abdullah berkata, anggota penyelamat berjaya menemui mayat mangsa selepas lebih 24 jam mangsa dilaporkan hilang.

"Anggota mencari dan menyelamat berjaya menemui mayat mangsa kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian dalam keadaan terapung sebelum dibawa ke tebing sungai berkenaan.

"Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan (HTI) untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2017 @ 7:07 PM