NASRI (kiri) mengasari Vardy.
Reuters

Sevilla: Pemain tengah Sevilla Samir Nasri menuduh Jamie Vardy penipu selepas pemain Perancis itu dibuang padang kerana bertelagah dengan penyerang Leicester dan menanduknya pada aksi Liga Juara-Juara semalam.

Leicester yang ketinggalan 1-2 pada perlawanan di Sepanyol mengubah nasib mereka dengan kemenangan 2-0 di Stadium King Power yang menjadikan mereka satu-satunya kelab Inggeris mara ke suku akhir kejohanan utama kelab Eropah musim ini.

Nasri yang dipinjamkan Mancester City ke Sevilla dilayangkan kad kuning kedua oleh pengadil Itali Daniele Orsato kerana bertindak kasar selepas bergaduh denga Vardy.

“Bagi saya, Vardy seorang penipu, jika dia pemain asing, anda sebagai media Inggeris akan mendakwanya sebagai seorang penipu. Bagi saya dia seorang penipu,” kata Nasri.

“Mereka menang 2-0 jadi bermainlah seperti lelaki. Anda tidak sebaik kami tapi anda menang 2-0 dan akan layak, jadi teruslah bermain.”

Leicester terus menyokong Vardy dan pemain itu juga menafikan komen bintang Perancis itu.

“Saya bukannya penipu dan tidak pernah berbuat demikian. Itu saja yang saya mahu katakan berhubung perkara itu,” Vardy dipetik sebagai berkata oleh BBC.

Jurucakap Leicester berkata: “Kelab ini menafikan sebarang dakwaan yang mempersoalkan integriti profesional Jamie atau mana-mana pemain lain.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2017 @ 9:30 AM