HUSNA Mardhiyyah (tengah) menunjukkan keputusan cemerlang kepada ibu bapa, Mohd Fauzi Ibrahim, 49 dan Dahliana Mohd Dagang, 46 (kiri) pada majlis Pengumuman Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 di Pejabat Pendidikan Negeri Kuala Terengganu. STR/MOHD SYAFIQ RIDZUAN AMBAK.
Isma Ismail
isma@hmetro.com.my


Kuala Terengganu: Pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Kemaman, Husna Mardhiyyah Mohd Fauzi dan Lam Sin Gee dari SMK Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu diumum sebagai pelajar cemerlang SPM 2016 Terengganu hari ini.

Nur Syuhada Alias dari SMK Bukit Besar, Kuala Terengganu yang cacat penglihatan pula muncul sebagai calon berkeperluan khas cemerlang.

Husna yang mencatatkan keputusan 11A+ berkata, menjaga adab dalam hubungan termasuk dengan ibu bapa, guru dan rakan-rakan menjadi antara prinsipnya.

"Selain itu, sentiasa mengingati Allah SWT dalam apa juga usaha yang dilakukan menjadikan pembelajarannya diberkati sekali gus dianugerahkan dengan keputusan cemerlang," kata anak kepada peniaga dan guru itu.


HUSNA Mardhiyyah (kiri) bersama Sin Gee (kanan) dan Nur Syuhada (tengah) menunjukkan keputusan cemerlang yang diperolehi. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

Sementara itu, Nur Syuhada yang pernah mewakili negeri untuk hafazan dan tilawah al-Quran di peringkat kebangsaan berkata, dia bersyukur kerana masih mampu mencatatkan keputusan 5A dalam peperiksaan itu walaupun dirinya tidak sempurna seperti orang lain.

Menurutnya, walaupun keputusan dicatatkannya itu tidak cemerlang seperti pelajar normal lain tetapi dirinya berbangga dengan pencapaian berkenaan.

Bagi Lam yang bercita-cita menjadi peguam, dia menghabiskan kira-kira lima jam sehari untuk mengulang kaji pelajaran.

Menurutnya, keputusan 9A+ yang dicatatkannya agak mengejutkan kerana dalam peperiksaan percubaan sebelumnya hanya mencatatkan 7A+.

"Saya berterima kasih kepada semua pihak termasuk kerajaan negeri yang sentiasa mengadakan kem peperiksaan untuk membantu pelajar mencatatkan keputusan cemerlang dalam pelajaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2017 @ 4:54 PM