VIRTUS Pro lebih konsisten selepas beberapa tahun ditubuhkan.
TNC tetap mempamerkan prestasi memuaskan dalam pusingan kelayakan.
FACELESS bakal cetuskan sejarah sekiranya memenangi Kiev Major tahun ini.
Hazril Md Nor
Gen.y@hmetro.com.my


Kejohanan Kiev Major Dota 2 menyaksikan detik mendebarkan buat pasukan yang mengambil bahagian dalam pusingan kelayakan, baru-baru ini.

Berikut tiga pasukan yang berjaya merebut slot ke kejohanan utama dengan tawaran hadiah wang tunai terkumpul AS$1 juta (RM4.44 juta) bermula 27 April ini.

VP TERUSKAN RENTAK CEMERLANG

Pembentukan Negara Bebas Komanwel (CIS) yang sebelum ini menjadi sebahagian daripada rantau Eropah memperlihatkan persaingan hangat dalam arena kompetitif.

Dengan bergantung kepada satu saja jemputan ke Kiev Major, pusingan dalam talian yang bermula Ahad lalu itu memperlihatkan empat pasukan iaitu Virtus Pro (VP), Team Spirit, Team Empire dan Na’vi.

Daripada empat pasukan bertanding, Virtus Pro paling menyerlah apabila berjaya menempah tiket percuma ke Ukraine dengan rekod 9-0 tanpa kalah.

Selepas gagal menyinar di Boston Major dan kesukaran menyesuaikan diri dengan corak permainan baru, Virtus Pro menunjukkan prestasi memuaskan di ESL One Genting dan Dota Pit musim kelima.

Pasukan lawannya di pusingan akhir, Natus Vincere adalah pesaing yang pernah ditumpas pada awal perlawanan. Walaupun kalah di tangan Virtus Pro, Na’vi bangkit dalam pusingan ‘lower bracket’ dan bertembung kembali di pusingan akhir.

Bagaimanapun, pusingan akhir tidak begitu sengit kerana VP mempamerkan rentak cemerlang dengan mencatatkan masa 50 minit untuk kedua-dua perlawanan.

Kiev Major akan menjadi cabaran untuk Virtus Pro dan menentukan sama ada mereka benar-benar tergolong antara pasukan ranking teratas Dota 2.

RANTAU ASIA LEBIH SENGIT

Lain pula kisahnya bagi peminat Dota 2 di rantau Asia Tenggara yang menerima kejutan apabila tiada satu pasukan pun mendapat jemputan terus ke Kiev Major.

Bagaimanapun, dua pasukan, TNC dan Faceless yang disenaraikan oleh peminat untuk mendapat jemputan ke Kiev, ternyata berjaya menempah slot itu menerusi kemenangan memuaskan di pusingan kelayakan.

Faceless meraih slot pertama selepas pertarungan sengit dua perlawanan dalam format terbaik daripada tiga. Kembara Faceless bermula selepas saingan sengit berdepan TNC.

Selepas itu, mereka berdepan Mineski. Walaupun pasukan lawan itu memenangi perlawanan pertama, mereka terbukti lemah apabila Faceless menyapu bersih perlawanan kedua dan ketiga.

TNC kemudian mempertaruhkan nasib mereka di pusingan ‘lower bracket’. Mereka menghadapi perlawanan sengit menentang Mineski namun tetap berjaya merebut slot kedua ke Kiev Major.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2017 @ 5:18 AM