KEBAKARAN rumah di Kampung Pasir Putih, Bachang.
Zairee Mohd Yasak
am@hmetro.com.my


Melaka: Wanita dan bayinya berusia 11 bulan nyaris rentung selepas rumah mereka di Kampung Pasir Puteh, Bachang, terbakar tengah malam tadi.

Dalam kejadian 12.15 tengah malam itu, Norliana Mohd Noh, 37, bersama bayi perempuannya, Nurqisya Qaireen Ahmad Syhir, sedang tidur di dalam sebuah bilik di rumah berkenaan.

Norliana berkata, dia terjaga selepas terhidu bau asap dan cemas selepas melihat api sedang menyala di bawah katil di sebelah tempatnya tidur.

"Saya segera berlari ke bilik air untuk mengambil air sambil menjerit 'api'. Kerana terlalu panik saya terlupa anak bongsu yang sedang tidur.

"Saya terus berlari mendapatkan anak lalu mendukungnya sebelum keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri," katanya.

Sementara itu Komander operasi Penolong Penguasa Bomba II Razali Che Are dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu berkata, kebakaran berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya pada jam 12.34 tengah malam.

"Kebakaran dapat dikawal daripada merebak ke bahagian lain rumah terbabit, kami turut dibantu penduduk sekitar.

"Pemeriksaan awal mendapati 45 peratus kediaman itu rosak akibat kebakaran. Punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2017 @ 3:43 AM