Mohd Azhar diiring anggota polis keluar dari Mahkamah Sesyen Melaka, hari ini. - Foto MUHAMMAD ZUHAIRI ZUBER
Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my


Melaka: Seorang pengurus sebuah syarikat swasta dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ni, bagi menghadapi tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM17,753.44, dua tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh, Mohd Azhar Baharom, 33, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan pengubahan wang haram dengan menerima wang tunai RM17,753.44 hasil aktiviti haram di Maybank Jalan Munshi Abdullah, di sini, antara 24 hingga 28 Januari 2015.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang memperuntuk hukuman denda sehingga RM5 juta atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Ashikin Mokhtar mencadangkan tertuduh tidak dibenarkan jamin namun mencadangkan RM100,000 sekiranya budi bicara digunakan mahkamah.

Pendakwa juga meminta syarat tambahan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah selain meminta kes dipindahkan ke Kuala Lumpur kerana tertuduh berdepan beberapa lagi dakwaan serta bagi memudahkan kehadiran saksi.

ertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu dibenar jamin dengan alasan masih bekerja dan perlu menanggung keluarga.

Ahmad Sazali kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin tanpa sebarang syarat tambahan dan menetapkan 3 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2017 @ 1:27 PM