Salman Hamat
salman@hmetro.com.my

Alor Gajah: Polis tahan empat lelaki dan rampas pelbagai jenis dadah bernilai RM9,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Solok Air Mentangor, Sungai Petai, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan A Asmadi Abd Aziz berkata, dalam serbuan 11.30 pagi itu, suspek berusia antara 22 hingga 40 tahun ditahan ketika sedang membungkus dadah yang baru diperoleh dari pengedar.

"Dadah berkenaan ditemui dalam dua beg dan semakan mendapati semua suspek mempunyai rekod jenayah.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah. Mereka juga pengedar tegar yang membekalkan dadah kepada penagih sekitar daerah ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah, hari ini.

Antara dadah dirampas ialah syabu, heroin, ketamin, Eramin 5, ganja dan pil yaba (pil kuda).

Semua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2017 @ 1:24 PM
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, A Asmadi Abd Aziz (tengah) bersama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Alor Gajah, Ramli Mahad (kiri) dan Pegawai Penyiasat Fazrul Izham Asli (kanan) menunjukkan dadah yang dirampas. - Foto RASUL AZLI SAMAD