Oleh Erywan Norshal
erywan@hmetro.com.my


Seperti dijanjikan sebelum ini, Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) akhirnya melancarkan motosikal berkuasa tinggi Yamaha MT-09 varian pemasangan tempatan (CKD).

Menariknya dengan jentera dua roda itu, tentu harganya ditawarkan lebih rendah sehingga RM10,000 berbanding varian model import sebelum ini.

Kini ia ditawarkan pada harga RM45,000 tidak termasuk insurans dan boleh dikatakan motosikal jenama keluaran Jepun paling murah dalam kalangan kategorinya.

Ia juga mengikut jejak varian Yamaha XJ yang melakukan pemasangan tempatan berikutan pasaran motosikal berkuasa tinggi melebihi 250 cc mencatat pertumbuhan memberangsangkan.

Bagi Yamaha MT-09, ia dipacu enjin empat lejang dengan tiga silinder bersesaran 850cc yang turut dilengkapi sistem penyejukan cecair dan pancitan bahan api, selain dibekalkan transmisi enam kelajuan.

Tenaga dibekalkan sangat mengagumkan selepas menghasilkan kuasa sehingga 115 PS pada 10,000rpm, manakala tork mencecah 87.5 Nm pada 8,500rpm.

Jentera menggunakan moto 'Discover Your Darker Side' menggambarkan ia mempunyai karakter lebih berani dan garang, lebih-lebih lagi penampilannya.

Yamaha MT-09 juga menggunakan kerangka baru untuk mendapatkan jumlah berat badan rendah sehingga 188 kilogram.

Rekaan keseluruhan casis dibina khas untuk menyediakan tahap prestasi pengendalian tangkas dan lebih tepat ketika di selekoh.

Buat masa ini, model CKD hanya ditawarkan dengan dua warna iaitu violet dan oren.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 January 2015 @ 5:02 AM