ROSDI beramah mesra dengan penerima setelah menyampaikan wang ehsan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Mohamad Zulhairie Manzaidi
am@hmetro.com.my


Tumpat: Seramai 1,333 mangsa banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor menerima wang ihsan banjir membabitkan nilai RM666,500 hari ini.

Bantuan fasa pertama bagi Parlimen Tumpat itu diuruskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan.

Ia membabitkan mangsa antaranya di Kampung Simpangan, Kajang Sebidang, Bendang Pak Yong, Telok Jering, Bunohan dan Pak Keral yang disampaikan oleh pemangku Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Datuk Rosdi Ab Aziz.

Rosdi berkata, setiap keluarga layak menerima RM500 bagi meringankan beban mereka yang terbabit banjir sejak penghujung tahun lalu.

"Sebelum bantuan ini diserahkan, kita sudah pun mengagihkan peralatan dapur kepada mangsa yang mengalami kerosakan peralatan dapur.

"Bantuan ini akan diserahkan secara berperingkat dan fasa kedua untuk DUN Wakaf Bharu dan Pasir Pekan masih belum ditetapkan. Namun saya jangka dalam masa yang terdekat," katanya.

Majlis penyerahan dibuat di dewan Sekolah Kebangsaan Sri Tumpat 2, di sini yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor, Mat Razi Mat Ail dan Pengarah APM Kelantan, Zainuddin Hussin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2017 @ 4:40 PM