Ismail (tengah) bersama kakitangan Felda Wilayah Terengganu menunjukkan laporan polis dan gambar selepas membuat laporan polis membabitkan Pakatan Harapan. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
Zatul Iffah Zolkiply

Foto Mohd Syafiq Ambak

Kuala Terengganu: Empat badan bukan kerajaan (NGO) FELDA membuat laporan polis bagi membantah tindakan pakatan pembangkang menggunakan nama FELDA dalam kongres yang dianjurkannya di Shah Alam, Selangor pada Ahad ini.

Ketua Peneroka Gabungan Jawatankuasa Kemajuan Rancangan (JKKR) FELDA Wilayah Terengganu Ismail Mohd berkata, tindakan pihak pembangkang menggunakan nama agensi kerajaan itu dalam program yang dinamakan Kongres Peneroka FELDA akan mengelirukan peneroka dan masyarakat awam.

“Sebelum ini, mereka menggunakan nama Konvensyen FELDA tetapi selepas mendapat bantahan, mereka menukar kepada Kongres Peneroka FELDA.

“Kita membantah penggunaan nama FELDA kerana pengurusan FELDA tidak pernah memberi kebenaran untuk pihak yang tidak berkaitan menggunakan nama atau menganjurkan sebarang program.

“Mereka didapati mempromosikan program ini di laman sosial sedangkan mereka menyalahgunakan nama FELDA untuk menarik pengunjung," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu di sini, hari ini.

Selain JKKR, FELDA Terengganu, tiga NGO lain ialah Majlis Belia FELDA, Kami Anak FELDA dan Gerakan Persatuan Wanita FELDA.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2017 @ 4:04 PM