Anggota APM memegang ular sawa seberat 120kg. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli
am@hmetro.com.my


Kuala Nerus: Ular sawa seberat 120 kilogram yang kekenyangan dipercayai selepas menelan seekor haiwan ditangkap di Kampung Teluk Pasu, Kuala Nerus, 9 pagi tadi.

Reptilia sepanjang enam meter itu ditangkap sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selepas menerima laporan daripada penduduk kampung mengenai kehadiran ular berkenaan.

Pegawai APM Daerah Kuala Nerus, Leftenan Muda (PA) Ahmad Kamal Hakim Ngah berkata, pihaknya yang ke lokasi kemudiannya menemui ular sawa terbabit dalam keadaan tidak mampu bergerak kerana kekenyangan.

“Dipercayai ular sawa itu sudah menelan babi atau anjing liar berikutan di kawasan ia ditemui tidak terdapat kegiatan menternak kambing atau lembu,” katanya.

Menurutnya, ular sawa itu kemudiannya mati dipercayai kerana sesak nafas dan pihaknya akan serahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan seterusnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2017 @ 2:12 PM