Jenazah Mohd Shukri tiba di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Dungun, 10 pagi ini. - Foto ROSLI ILHAM
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


Dungun: Seorang nelayan sempat diajar mengucap dua kalimah syahadah sebelum dia meninggal dunia di atas bot ketika menangkap ikan kira-kira 86 batu nautika dari Kuala Dungun di sini, petang semalam.

Kejadian berlaku kira-kira 4.30 petang dan jenazah Mohd Shukri Zawiwi, 43, dari Kampung Kuala Abang di sini, tiba di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Dungun, kira-kira 10 pagi ini.

Nelayan berkenaan dikatakan keluar menangkap ikan sejak Jumaat lalu bersama tekong bot, Mohd Shukri Sidek, 35, serta empat awak-awak lain.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub berkata, jenazah mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.

Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, nelayan berkenaan mengadu tidak sihat kepada rakannya sebelum kesihatannya semakin teruk.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2017 @ 1:53 PM