Meor Riduwan Meor

Alor Setar: Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi, Yaakob Hassan, 48, dijatuhi hukuman penjara 40 bulan dan denda RM60,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, sebentar tadi atas dua pertuduhan rasuah pada 2012.

Hakim Zanol Rashid Hussain menjatuhkan hukuman itu selepas meneliti rayuan peguam bela, Paramjit Singh dan hujah Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), A Hafiizh Abu Bakar.

Mengikut kertas pertuduhan, Yaakob didakwa meminta suapan RM10,000 daripada Jamat Harun menerusi panggilan telefon semasa pengadu berada di rumahnya di Kampung Kilim, Mukim Ayer Hangat di Langkawi dekat sini pada 13 Oktober 2012, jam 7.46 malam.

Suapan itu didakwa sebagai upah untuk tertuduh menutup siasatan polis ke atas anak lelaki pengadu, Mohd Shafiqq Affandi Jamat.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima rasuah RM2,000 daripada Ahmad Ridzwan Jamat bagi tujuan sama.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di bilik Ketua Balai, BBP Langkawi, Jalan Kisap, Langkawi pada 14 Oktober 2012, kira-kira 3 petang.

Bagi dua kesalahan itu, Yaakob dituduh mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum menurut Seksyen 24 (1) akta sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Hakim menjatuhkan hukuman penjara 20 bulan dan denda RM50,000 serta RM10,000 bagi pertuduhan pertama dan kedua.

Hukuman penjara berjalan serentak mulai hari ini dan jika gagal membayar denda, tertuduh dikenakan hukuman penjara tambahan 12 bulan.

Peguam memohon penangguhan pelaksanaan hukuman dan dibenarkan oleh mahkamah hanya untuk penjara dengan syarat notis rayuan difailkan hari ini manakala denda mesti dibayar hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2017 @ 12:13 PM
Yaakob dijatuhi hukuman penjara 20 bulan dan denda RM60,000. FOTO Shahrizal Md Noor