PEGAWAI FRIM mengenal pasti spesies tumbuhan dengan membuat perbandingan dengan spesimen sedia ada di Herbarium FRIM.
DR Abd Latif (kiri) dan Dr Lillian menunjukkan anugerah yang diterima.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) mewujudkan laman web Malaysia Biodiversiti Information System (MyBIS) sebagai alat penyebar dan perkongsian maklumat biodiversiti Malaysia.

Sebelum ini, MyBIS dikenali sebagai Malaysian Biological Diversity Clearing House Mechanism (MyCHM) yang dilancarkan pada 2008. Ia menyediakan data flora dan fauna Malaysia dengan gambar berserta surat berita di dalam laman web.

Laman web ini juga menyediakan pautan kepada pelbagai perjanjian berkaitan dengan biodiversiti Malaysia dan laman lain yang mengandungi maklumat biodiversiti negara.

Pada 2014, MyCHM dijenamakan semula kepada MyBIS. FRIM bekerjasama rapat dengan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia (NRE) untuk menjadikan MyBIS sebagai pusat pangkalan data maklumat biodiversiti di Malaysia.

MyBIS memperkenalkan empat modul utama iaitu penemuan, pencarian, analisis dan rujukan serta terdapat sub modul seperti spesies, kawasan perlindungan, pakar, spesimen dan gambar.

Ketua Pengarah FRIM Datuk Dr Abd Latif Mohmod berkata, MyBIS menyediakan platform untuk pengumpulan data berkaitan biodiversiti termasuk maklumat spesies, gambar, rujukan, surat berita dan penerbitan dari pelbagai agensi dan organisasi.

Beliau berkata, MyBIS mengandungi data komprehensif mengenai flora dan fauna termasuk spesies dan maklumat taksonomi, gambar, surat berita dan rujukan, pakar biodiversiti, status pemuliharaan, kawasan perlindungan dan spesimen.

“Maklumat terkini mengenai biodiversiti Malaysia boleh diakses dengan mudah dalam talian. Kemudahan ini boleh membantu meningkatkan kesedaran dan mendidik orang ramai mengenai kepentingan biodiversiti.

“Ia juga menyumbang ke arah pelaksanaan strategi pemuliharaan dan pelan tindakan biodiversiti negara. MyBIS membantu menyediakan akses mudah dan percuma kepada maklumat mengenai spesies terancam yang sentiasa dikemas kini.

“Status pemuliharaan, profil spesies, gambar, lokasi dan rujukan kepada spesies terancam adalah antara maklumat yang boleh didapati di MyBIS,” katanya pada sidang media di FRIM, Kepong, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Biodiversiti Hutan FRIM Dr Lillian Chua dan Ketua Projek MyBIS FRIM Hamidah Mamat.

“Buat masa ini, terdapat lebih 40,000 rekod spesies, lebih 6,000 gambar, 106 surat berita yang dikemas kini setiap bulan, lebih 1,000 bahan rujukan dan kajian literatur, serta 99 penerbitan di laman web ini.

“MyBIS juga berfungsi sebagai direktori kebangsaan bagi pakar biodiversiti Malaysia dan kini terdapat 481 pakar berkaitan biodiversiti yang berdaftar dengan MyBIS.

“Di samping itu, MyBIS juga menyediakan sistem berpusat untuk menguruskan data spesimen daripada pelbagai pusat koleksispesimen di negara ini.

“Pangkalan data ini dibangunkan FRIM kerana kami bertanggungjawab menyimpan spesimen serta pangkalan data bagi flora, kulat, entomologi dan zoologi. Penyelidik FRIM juga diiktiraf sebagai pakar biodiversiti dalam botani, entomologi dan zoologi,” katanya.

Menurutnya, pengguna dari dalam dan luar Malaysia boleh mencari maklumat mengenai biodiversiti Malaysia dengan mudah melalui MyBIS (http://www.mybis.gov.my) yang boleh diakses melalui komputer, tablet mahupun telefon mudah alih.

“Sehingga September 2016, jumlah pelawat laman sesawang ini mencecah 982,098 dan sebanyak 528 ibook download direkodkan.

“Pangkalan data dan gambar yang dimuat naik dapat dijadikan rujukan oleh penyelidik, ahli sains, ahli botani, pelajar universiti dan sekolah, pembuat keputusan dan orang awam yang berminat tentang biodiversiti Malaysia,” katanya.

Katanya, sasaran MyBIS pada masa akan datang adalah bagi meningkatkan penyampaian, pemahaman dan aplikasi laman web dengan memberikan maklumat terkini, interaktif dan menarik kepada pengunjung.

Selain itu, pengunjung juga boleh menyumbang maklumat berkaitan dengan biodiversiti dalam bentuk gambar atau data bagi meningkatkan jumlah data dalam pangkalan data MyBIS bagi tujuan informasi dan kesedaran masyarakat.

FRIM telah menerima Anugerah Emas di bawah kategori Clearing House Mechanism (CHM) yang diadakan di Cancun, Mexico dari 4 hingga 17 Disember 2016.

Anugerah ini adalah pengiktirafan atas usaha berterusan dalam meningkatkan, mengemas kini dan mengekalkan CHM untuk Malaysia sejak tahun 2008.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2017 @ 10:18 AM