Marini gembira dengan pencapaian J Revolusi. FOTO HM
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Filem J Revolusi yang mencatat kutipan RM4.3 juta sejak ditayangkan dua minggu lalu menjadi tiga filem paling digemari yang sedang ditayangkan di negara ini.

Pengurus Besar, Inovasi & Edaran, Primeworks Distribution Sdn Bhd, Marini Ramlan berkata, filem terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB) dan Infinitus Entertainment ini mengekalkan kedudukan tiga filem paling digemari penonton seiring dengan filem blockbuster Kong : Skull Island dan Logan.

"Kami gembira melihat filem arahan Zulkarnain Azhar ini berjaya bertahan di tiga kedudukan teratas selama dua minggu berturut-turut.

“Ia sekali gus membuktikan jika filem kita dihasilkan dengan resipi yang betul, penonton pasti akan menyokong," katanya.

Menurut Marini, pihaknya juga gembira dapat menjalin kerjasama dengan Dlux Entertainment yang membawa masuk filem ini bagi ditayangkan di Singapura.

Marini berkata, tayangan gala yang diadakan di Singapura semalam yang turut dihadiri pelakon utamanya iaitu Zul Ariffin, Izara Aishah dan Farid Kamil mendapat sambutan cukup menggalakkan.

“Lebih 300 peminat hadir dan rata-ratanya memberi komen positif terhadap filem ini,” katanya.

J Revolusi adalah kerjasama ketiga dengan Dlux Entertainment selepas Boboiboy The Movie dan Rock Bro.

Dalam masa sama, pihaknya turut berharap lebih banyak filem Malaysia ditayangkan di Singapura selepas ini.

"Peminat amat menyukai gabungan pelakon serta babak aksi dalam J Revolusi. Kami teruja melihat sokongan begitu kuat daripada penonton yang disebarkan di media sosial dengan hashtags seperti #supportlocal. Tak lupa kami mengucapkan terima kasih kepada lebih 320,000 penonton yang sudah menonton filem ini," katanya.

Dalam pada itu, sebagai tarikan kepada penonton GBSB turut menganjurkan peraduan khas

J Revolusi yang menawarkan hadiah sebuah kereta bernilai lebih RM80,000 kepada pemenang bertuah.

Peraduan dibuka sehingga 16 Mac ini dan sebarang maklumat mengenai peraduan ini, boleh layari laman web www.jrevolusi.my.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2017 @ 7:45 PM