Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


Pontian: Empat puluh dua penunggang dan pembonceng motosikal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Imigresen di sini, hari ini atas tuduhan gagal mengemukakan pasport kepada pegawai Imigresen ketika keluar atau masuk dari Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru bulan lalu.

Semua tertuduh yang berusia antara 23 hingga 61 tahun termasuk dua wanita mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Salawati Djambari.

Mahkamah menjatuhkan hukuman RM1,800 ke atas penunggang motosikal, manakala RM1,500 terhadap pembonceng dan warga emas.

Berdasarkan kertas pertuduhan, 11 tertuduh lelaki didakwa gagal mengemukakan pasport kepada pegawai Imigresen ketika memasuki Malaysia di Kawalan Motosikal Masuk, BSI, jam 5.20 petang, 16 Februari lalu.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 26 (4) Akta Imigresen 1959/63 yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Manakala, 29 lagi tertuduh lelaki dan dua wanita didakwa melakukan perbuatan sama ketika meninggalkan Malaysia untuk ke suatu tempat di luar negara ini di Kawalan Motosikal Keluar, BSI, jam 6.50 pagi, 20 Februari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 2 (2) Akta Pasport 1966 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, semua tertuduh ditahan dalam operasi dijalankan Jabatan Imigresen iaitu Op Kutip dan didapati melalui laluan yang tidak dibenarkan (reject lane) serta tidak mengemukakan pasport.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen, Sarvena Giman, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2017 @ 3:40 PM
ANTARA penunggang dan pembonceng yang mangaku bersalah atas pertuduhan gagal mengemukakan pasport. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin