Ng menunjukkan barang kemas, motosikal dan peti besi yang berjaya ditemui semula susulan tangkapan empat suspek. FOTO Muhaizan Yahya
Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my


Kampar: Polis memburu tiga ahli kumpulan penjenayah dikenali 'Geng Vicky' yang terbabit dalam kes pecah rumah babitkan kerugian RM400,000 di Mambang Diawan, di sini pada Januari lalu.

Kumpulan penjenayah terbabit dikesan memecah masuk rumah seorang kontraktor di Mambang Diawan jam 8.45 pagi pada 8 Januari lalu membabitkan kerugian barangan termasuk barang kemas, wang tunai, geran tanah yang disimpan dalam peti besi selain komputer riba serta dua motosikal milik mangsa.

Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Ng Kong Soon berkata, susulan laporan polis dibuat mangsa yang berusia 60 tahun itu, polis berjaya memberkas empat ahli kumpulan terbabit.

“Suspek yang berjaya ditahan adalah empat lelaki berusia 20 hingga 40 tahun dalam beberapa siri tangkapan termasuk ketua kumpulan penjenayah itu yang dikenali sebagai Vicky, 26, ditahan di Johor pada 26 Februari lalu.

“Polis kini mengesan tiga lagi ahli kumpulan berkenaan berusia 20an yang masih bebas bagi membantu siasatan sekurang-kurangnya tiga kes pecah rumah dan curi kenderaan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Menurutnya, polis turut berjaya menemui semula sebahagian barangan yang dicuri kumpulan terbabit termasuk dua motosikal dan peti besi yang cuba dilupuskan di sebuah lombong di Air Kuning, Tapah, dekat sini susulan tangkapan empat suspek berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2017 @ 2:19 PM