AKSI penyerang Pahang Mohamadou Sumareh (kiri) ketika menentang Melaka.
Asrol Awang
sukan@hmetro.com.my

Kuantan: Jurulatih Pahang, Dollah Salleh bersyukur biarpun persembahan dipamerkan skuadnya tidak berada pada tahap membanggakan tetapi kejayaan ke suku akhir Piala FA begitu melegakannya.

Justeru, beliau berterima kasih atas komitmen pemain apabila mengesahkan slot sebagai lapan pasukan terbaik selepas menewaskan Melaka United 2-0, kelmarin.

Bekas jurulatih kebangsaan itu berkata, kemenangan sememangnya dinantikan untuk meneruskan misi mengucup piala berprestij itu seperti pernah dilakukan pada 2014.

“Saya beryukur Pahang dapat meneruskan perjalanan ke suku akhir dan tahniah kepada pemain walaupun malam ini (kelmarin) persembahan dipamerkan agak berbeza.

“Apa diinginkan serba tidak menjadi terutama pada babak kedua tapi kemenangan ini memuaskan hati saya.

“Disebabkan itu, Melaka United mengambil kesempatan menyerang dan kami bernasib baik mereka tidak dapat menjaringkan gol, sebaliknya kami bangkit dalam 10 minit terakhir untuk menjaringkan gol kedua lima minit sebelum tamat,” katanya.

Dalam perlawanan itu, dua gol Pahang dijaringkan Heo Jae Won (m-15) dan Nor Azam Azih (m-85).

Justeru, Dolah mengharapkan prestasi lebih baik dipersembahkan pemainnya sebaik tempoh rehat saingan Liga Malaysia berakhir nanti.

“Begitu juga kecederaan dialami beberapa pemain yang diharap pulih sepanjang tempoh rehat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2017 @ 10:56 AM