SEORANG wanita mendukung anaknya ketika meninggalkan kediamannya di barat laut Mosul apabila tentera Iraq meningkatkan serangan terhadap Daish di kawasan itu, semalam. - Reuters
Agensi

Mosul: Pasukan keselamatan Iraq kini menguasai lebih sepertiga barat Mosul selepas menawannya semula daripada Daish sejak melancarkan serangan ke atas kawasan itu bulan lalu.

“Kira-kira sepertiga daripada tebing barat (barat Mosul) kini berada di bawah penguasaan unit kami,” kata pegawai kanan tentera Iraq, Mejar Jeneral Maan al-Saadi.

Mosul dipisahkan oleh Sungai Tigris dengan bahagian timur dikenali sebagai tebing kiri sementara bahagian barat dinamakan tebing kanan.

Tentera Iraq melancarkan operasi menawan semula barat Mosul - kawasan bandar paling padat penduduk yang masih di bawah penguasaan Daish - pada 19 Februari lalu.

Daish menawan sebahagian besar kawasan di utara dan barat Baghdad pada 2014 tetapi tentera Iraq dengan bantuan serangan udara yang diketuai Amerika Syarikat dan sokongan lain berjaya menawan semula sebahagian besar wilayah berkenaan.

Tentera Iraq melancarkan operasi besar-besaran untuk menguasai semula Mosul pada Oktober dan berjaya menawan bahagian timurnya Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2017 @ 9:11 AM